Lombong pasir haram beroperasi sejak setahun lalu tumpas

Screenshot 2025 05 15 160126

KULIM – Aktiviti perlombongan pasir secara haram di sungai sekitar kawasan Kulim, Kuala Muda dan Bukit Selambau yang beroperasi sejak setahun lalu akhirnya tumpas selepas serbuan besar-besaran dilakukan oleh pasukan penguat kuasa pada Rabu.

Operasi bersepadu itu melibatkan Cawangan Risik Ibu Pejabat Risik Briged Utara, Cawangan Risik Batalion 1 dan 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah.

 

Hasil serbuan, seramai 13 lelaki tempatan ditahan, manakala empat jengkaut, enam lori, sebuah jentolak, sebuah traktor serta peralatan penyedut pasir yang digunakan untuk mengorek pasir dari sungai dirampas. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.83 juta.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjalankan kegiatan haram itu dengan menjual pasir kepada pasaran tempatan pada kadar sekitar RM400 bagi setiap lori.

“Semakan lanjut mendedahkan bahawa pemilik tapak perlombongan terbabit tidak memiliki sebarang permit atau lesen sah daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Shahrum, kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, PGA Briged Utara sedang giat menjalankan pengawasan dan rondaan di kawasan-kawasan strategik termasuk Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang kegiatan haram.

“Briged Utara akan terus komited dan konsisten dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

“Masyarakat diseru agar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” ujarnya.

 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input