REE: Perak teroka kerjasama dengan Perancis

Screenshot 2025 05 15 093140

IPOH – Kerajaan Negeri Perak meneroka potensi kerjasama dengan syarikat antarabangsa dari Perancis dalam usaha memajukan industri mineral nadir bumi (REE) ke tahap yang lebih tinggi.

Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi lawatan rasmi ke Perancis yang diketuai oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Selasa.

 

Sepanjang lawatan itu, delegasi negeri berkesempatan melawat kemudahan pemprosesan REE milik syarikat terkemuka, Solvay di La Rochelle, Perancis, yang dikenali sebagai antara fasiliti utama di Eropah.

Menurut Saarani, Solvay memiliki keupayaan mengasingkan kesemua elemen REE termasuk kategori elemen nadir bumi berat (HREE), menjadikannya pemain global penting dalam ekosistem pemprosesan mineral tersebut.

“Sebagai negeri perintis dan satu-satunya yang telah berjaya melaksanakan Projek Perintis Perlombongan REE di Malaysia, Perak kini giat membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri ini.

“Kerajaan negeri juga berhasrat untuk turut terlibat secara langsung dalam industri pertengahan dengan matlamat mempertingkatkan teknologi sedia ada bersama pemain industri antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi Solvay turut membuka peluang kepada negeri ini untuk meneroka pelaburan masa hadapan, termasuk pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan.

“Pihak Solvay turut menyatakan kesediaan meneroka potensi kerjasama, khususnya dalam aspek pemindahan teknologi kepada industri tempatan.

“Semoga pertemuan strategik ini mengukuhkan pembangunan industri mineral di Perak dan memberi manfaat berganda kepada rakyat negeri ini, Insya-ALLAH,” ujar Saarani.

Delegasi Perak disambut oleh Pengarah Tapak Solvay, Sebastien Scarsi, dan Pengarah Projek Solvay, Stephane Diaz.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), Datuk Anuar Zainal Abidin; pegawai kanan agensi negeri serta wakil syarikat tempatan, Malaco Mining Sdn. Bhd.

Delegasi turut diberi taklimat menyeluruh berkenaan operasi Solvay dan berpeluang meninjau fasiliti pemprosesan berteknologi tinggi yang mematuhi piawaian kelestarian Kesatuan Eropah.

 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input