REE: Perak teroka kerjasama dengan Perancis

Screenshot 2025 05 15 092827

IPOH: Perak mahu mengorak langkah lebih jauh dalam industri elemen mineral nadir bumi (REE) dengan meneroka kerjasama bersama pemain industri itu di Eropah termasuk Perancis.

Melalui  lawatan rasmi yang diketuai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ke Perancis, Selasa lalu,  delegasi negeri dibawa melawat dan meninjau kemudahan fasiliti berteknologi tinggi dan komprehensif bagi pemprosesan REE milik syarikat terkemuka, Solvay di La Rochelle, Perancis.

Kilang Solvay adalah salah satu fasiliti utama di Eropah yang memiliki keupayaan untuk mengasingkan kesemua elemen mineral nadir bumi termasuk kategori heavy rare earth elements (HREE), menjadikannya antara pemain global penting dalam ekosistem pemprosesan REE.

Selain meneroka potensi pelaburan ke Perak, delegasi turut diberi taklimat menyeluruh mengenai operasi Solvay dan berpotensi pelaburan masa hadapan yang boleh dimanfaatkan negeri.

Saarani berkata,  sebagai negeri perintis dan satu-satunya negeri yang telah berjaya melaksanakan Projek Perintis Perlombongan REE, Perak telah giat membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri REE di Malaysia.

“Kerajaan Negeri Perak berhasrat untuk turut terlibat secara langsung dalam industri pertengahan ini, dengan matlamat untuk membangunkan dan mempertingkatkan teknologi sedia ada bersama pemain industri antarabangsa.

“Dalam pertemuan ini, Perak turut menyuarakan harapan agar syarikat-syarikat asing yang melabur di negeri ini dapat memindahkan pengetahuan dan teknologi kepada tenaga kerja tempatan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Lawatan itu turut disertai Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin:  Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.); Datuk Anuar Zainal Abidin, serta pegawai-pegawai kanan agensi negeri dan wakil  syarikat tempatan, Malaco Mining Sdn. Bhd.

Delegasi Perak disambut oleh barisan pengurusan tertinggi Solvay, termasuk Pengarah Tapak Solvay, Sebastien Scarsi dan Pengarah Projek Solvay,  Stephane Diaz. 

Delegasi turut diberi taklimat menyeluruh dan berpeluang meninjau fasiliti pemprosesan yang menggunakan teknologi canggih yang mematuhi piawaian kelestarian yang digariskan Kesatuan Eropah

Saarani berkata, pihak Solvay juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk meneroka potensi kerjasama, terutamanya yang berkaitan dengan pemindahan teknologi kepada industri tempatan pada masa hadapan.

“Semoga pertemuan strategik ini mampu mengukuhkan lagi pembangunan industri mineral di Perak serta memberikan manfaat yang berlipat ganda kepada rakyat Negeri Perak, Insya-Allah,” katanya.-UTUSAN

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input