KUALA KRAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan gali pasir secara haram selepas merampas pelbagai peralatan, termasuk lori dan rumah penyedut pasir bernilai RM2 juta di kawasan sungai di Kampung Pahi, di sini.
Rampasan dilakukan Batalion 8 dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Gakian Kota Bharu jam 4.15 petang kelmarin menerusi OP Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata hasil pemeriksaan mendapati kegiatan menyedut pasir itu dilakukan tiga lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh.
Katanya, semua mereka ditahan kerana gagal menunjukkan permit atau dokumen pemindahan pasir yang sah.
“Kita menahan dan merampas semua peralatan dan mesin jentera seperti rumah penyedut pasir, jentera pengorek (excavator), lori dan peralatan lain yang digunakan untuk memindahkan pasir.
“Anggaran nilai rampasan sebanyak RM2 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pemindahan pasir haram dari terus berleluasa di dalam negara.